Sintaksis
1.0) APAKAH SINTAKSIS ?
Sintaksis adalah bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Sintaksis juga bermaksud bidang yang mengkaji hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
2.0) DEFINISI SINTAKSIS
2.1) Menurut Nik Safiah Karim (2008)
- Sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan atau konstruksi ayat.
- Sintaksis juga dikenali sebagai kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
- Bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat.
- Melibatkan kajian tentang bentuk, struktur dan binaan ayat serta hukum atau rumus tatabahasa mengenai cara-cara penggabungan ayat.
- Selain itu, kajian sintaksis juga melibatkan aspek perbezaan binaan ayat melalui jenis- jenis ayat dan ragam ayat.
2.2) Menurut Abdullah Hassan,(2006)
Bidang linguistik yang mengkaji binaan ayat; bagaimana kata disusun menjadi frasa, dan bagaimana frasa disusun menjadi ayat
2.3) Menurut Dewan Bahasa Edisi Keempat
Sintaksis bermaksud satu cabang linguistik yang mengkaji peraturan dan susunan kata dalam satu ayat.
2.4) Menurut Syarifah Nor Syed merujuk kepada Bahasa Melayu Teks Rujukan Lengkap STPM,
Sintaksis dijelaskan sebagai satu bidang ilmu bahasa yang mengkaji proses pembinaan ayat. Kajian yang dimaksudkan ialah merangkumi kajian tentang hukum tatabahasa berkaitan kaedah pengabungan dan penyusunan perkataan untuk menghasilkan sesuatu ayat yang gramatis dan bermakna
2.5) Menurut Dr Ali Mahmood dan Munsyi Zainal Abidin Kasim dalam buku Morfologi Dan Sintaksis Bahasa Melayu
Menerangkan bahawa sintaksis ialah satu cabang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur dan konstruksi ayat. Sintaksis juga mengkaji proses pembinaan ayat dan hukum-hukum atau peraturan bahasa yang menentukan bagaimana sesuatu perkataan itu disusun dalam serangkai ayat yang bermakna.
2.6) Menurut Samsu Yaacob dalam Senarai Semak Sistem Ejaan dan Tatabahasa Bahasa Melayu ( Edisi Kemas Kini )
sintaksis adalah suatu bidang linguistik yang mengkaji proses-proses pembinaan ayat. Unsur-unsur yang terdapat dalam binaan sintaksis ialah frasa dan klausa. Gabungan frasa dan klausa akan menghasilkan ayat yang dapat berfungsi dan bermakna.
3.0) KESIMPULAN DEFINISI SINTAKSIS
Kesimpulannya, sintaksis boleh dijelaskan sebagai suatu bidang ilmu linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat. Binaan sintaksis ini seharusnya terdiri daripada beberapa unsur seperti frasa dan klausa atau subjek dan predikat. Proses pembinaan ayat ini didasari hukum dan peraturan yang tertentu agar ayat-ayat yang dihasilkan mengandungi makna yang lengkap dan difahami. Pembinaan ayat yang gramatis sewajarnya saling dilengkapi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif atau frasa sendi nama yang digabungkan dengan klausa bebas atau klausa tidak bebas.
4.0) PERBEZAAN MORFOLOGI DAN SINTAKSIS
Morfologi – merupakan kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa, termasuk infleksi, terbitan, dan pemajmukan.
Morfologi – juga merupakan bidang tatabahasa yang mengkaji morfem dan pembinaan perkataan dalam suatu bahasa.
Sintaksis – pula merupakan bidang linguistik yang mengkaji proses pembinaan ayat.
5.0) PENUTUP SINTAKSIS
Pembinaan ayat dengan menggunakan tatabahasa yang betul iaitu mengikut peraturan dan sistem dalam sesuatu bahasa sangat penting kerana pembinaan ayat yang mantap akan menjadikan barisan-barisan ayat mudah difahami pembaca disamping, releven serta gramatis bagi menarik minat sesorang untuk membaca dan dipakai mengikut peredaran zaman dan pada era kini. Walaupun bahasa melayu banyak berubah dari segi sebutan atau kosa kata baharu dalam setiap bidang namun, tatabahasa penggunaanya menentukan bahawa setiap tingkat yang membentuk ayat adalah sama.
6.0) Kepentingan dan konklusi dlm Pembelajaran sintaksis
Pada pendapat saya setelah saya mendalami ilmu sintaksis saya lebih mahir dalam menerangkan dan membina struktur/konstruksi ayat dalam penulisan,ini amat penting dan berguna bagi saya bukan sahaja pada masa pembelajaran di universiti tetapi juga memberi impak positif di masa pekerjaan kelak.
Comments
Post a Comment